Rabu, 25 Januari 2012

Manfaat Stres untuk orang beriman..

  Stres ialah reaksi tabii tubuh badan kita terhadap rangsangan fizikal dan emosi. Oleh sebab itu, stres adalah fitrah manusia. Maksudnya,stres ialah keadaan yang pasti berlaku dalam diri manusia..
  Allah berfirman yang bermaksud;- "Sesungguhnya manusia dijadikan bertabiat resah dan gelisah. Apabila ditimpa kesusahan dia berasa keluh kesah. Dan apabila mendapat kesenangan dia sangat bakhil." (Surah Al-Ma'arij; 19-21)
  Stres bukan untuk dihapus tetapi untuk diurus. Tanda kesempurnaan manusia ialah apabila dia tidak sempurna. Oleh sebab itu, dalam beberapa keadaan manusia memerlukan stres. Sedikit stres diperlukan untuk menghasilkan kerja yang berkualiti dan produktif. Namun jangan berlebihan ia akan menyebabkan pelbagai masalah.
 
  Eustres vs Distres
  Pakar-pakar telah membahagikan stres kepada dua iaitu eustres dan distres. Eustres apabila ia terkawal dan membawa manfaat. Manakala distres apabila ia berlebihan dan membawa mudarat.
  Cabaran kita ialah bagaimana untuk mendapat manfaat daripada stres dan menolak mudaratnya daripada hati kita?.. Allah berfirman yang bermaksud ;"Sesungguhnya berjayalah mereka yang membersihkan jiwanya. Dan rugilah mereka yang mengotorinya." (Surah al-Shams 91;9-10)
   Sebenarnya, Allah mencipta stres untuk manusia bagi meningkatkan tumpuan minda terhadap sesuatu tugasan. Ia juga satu mekanisme yang berlaku dalam tubuh manusia untuk bersedia menghadapi sebarang situasi yang mencabar dari luar. Secara saintifik, apabila berlaku stres, medulla oblongata akan merembeskan hormon adrenalin dan kelenjar adrenal akan mengeluarkan hormon kortisol. Bekalan darah lebih akan dihantar ke otot berbanding ke sistem penghadaman.
   Ya, begitulah sistematiknya pengaturan Allah pada tubuh manusia. Begitu kompleks tetapi sangat teratur. Ini membuktikan bahawa misinya sebagai hamba Allah dan Khalifah menyebabkan manusia dikurniakan pelbagai keistimewaan yang tidak diberikan kepada makhluk lain.
    Apa yang akan berlaku jika hidup manusia sunyi daripada stres?. Telah terbukti tanpa stres hidup manusia akan menjadi bosan. Sekiranya itu berlaku, prestasi kerja akan menurun. Hanya dengan stres yang terkawal,prestasi kerja akan mencapai tahap optimum.